Saturday 10 March 2012

Cerita Sebenar , Emak ditinggalkan berseorangan.

KUALA LUMPUR: “Emak saya bang, takkan saya tak sayang. Apapun yang berlaku, sebagai anak saya mohon ampun dan maaf dengan apa yang terjadi. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika ini, saya harap mak memahaminya,” kata Amir Mohd Omar, 27, anak Faridah Maulud, ibu yang ditinggalkan di sebuah hotel bajet di sini sejak 3 Mac lalu.

“Saya buntu dan seperti tenggelam punca kerana dalam hati tidak terlintas langsung untuk menyusahkan ibu seperti itu.


 
“Kejadian ini menyebabkan saya dihubungi sanak-saudara yang selama ini tidak tahu kedudukan sebenar saya walaupun sudah lima tahun menetap dan bekerja di ibu negara. Ada yang memberikan reaksi positif dan ada yang menyalahkan saya sebagai punca semua ini berlaku.

“Namun, saya buat begini kerana sayangkan mak dan mahu dia selesa. Kalau mampu, sudah tentu saya tempatkan dia di rumah sendiri kerana selama ini kami berkongsi susah dan senang,” katanya ketika bersetuju bertemu wakil Harian Metro selepas beberapa kali dihubungi, semalam.

Harian Metro berusaha mencarinya sejak pagi dengan mendapatkan nombor telefon Amir daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pengusaha hotel.

Ketika ditemui dia menafikan cuba lari dari tanggungjawab sebagai anak.

Menurutnya, hanya tinggal mereka berdua sekarang selepas kematian ayah 18 tahun lalu dan ibu segala-galanya. Katanya , masalah kesihatan yang dialaminya menyebabkan dia terpaksa meninggalkan ibunya itu di hotel berkenaan ketika niat asalnya untuk memberi kemudahan kepada orang tuanya itu mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang terletak berdekatan.

Menceritakan perkara itu kepada wartawan Harian Metro, semalam dia yang juga pegawai pemasaran sebuah syarikat swasta berkata, selepas ibunya jatuh sakit hujung tahun lalu, dia memutuskan untuk membawa wanita itu ke Kuala Lumpur dan tinggal bersamanya di sebuah bilik di Wangsa Maju.

Menurutnya, dengan pendapatan kira-kira RM 2,000 sebulan, dia tidak mampu menyewa sebuah rumah disebabkan jumlaj itu tidak mencukupi sedangkan pada masa sama, dia perlu membiayai perbelanjaan rawatan dirinya serta keperluan harian lain.

"Pada minggu lalu saya diserang sakit mata dan demam menyebabkan saya perlu berulang ke HKL untuk menerima rawatan dan menyambung cuti sakit. Ketika itu, saya terfikir cara terbaik untuk memberikan keselesaan kepada ibu ialah dengan membawanya ke hotel berdekatan," katanya ketika ditemui, semalam.

Amir berkata, pada mulanya dia tinggal bersama ibunya di hotel itu dan berulang-alik ke tempat kerja setiap pagi sehingga diserang sakit mata dan tinggal semula di bilik sewaan tidak dapat keluar dari biliknya.

"Saya sempat memberitahu pihak hotel saya akan melawat ibu dan membayar tunggakan bayaran secepat mungkin bergantung kepada kesihatan mata. Saya juga tinggalkan sedikit wang belanja kepada kakitangan di situ, sehari sebelum itu," katanya.

Katanya, dia terkejut melihat laporan Harian Metro semalam mengenai ibunya yang ditinggalkan berseorangan di sittu dan menghubungi JKM untuk mengetahui di mana ibunya berada dan dimaklumkan berada di bawah jagaan Jkm selepas mendapat perintah mahkamah.

Ditanya perancangannya selepas ini sama ada mahu menjaga ibunya atau menyerahkan kepada pihak lain termasuk JKM, Amir berkata, ia terpulang kepada keputusan wanita itu kerana lebih penting ialah keselesaannya.

"Saya akan berbincang dengan pegawai dan bergantung kepada keputusan mak. Kalau dia mahu tinggal dengan saya, InsyaAllah saya akan mencari kediaman sesuai untuk kami tinggal selepas ini, "katanya.

Dalam pada itu, Laporan Harian Metro mengenai kisah dua beranak ini mendapat sambutan orang ramai dan ada yang menghubungi Harian Metro untuk membantu wanita warga emas itu, termasuk bersedia mengeluarkan belanja bagi menanggung kehidupan wanita itu.

No comments:

Post a Comment